Thursday, September 25, 2008

Ramadhan pergi Syawal menjelma

Ramadhan pergi Syawal menjelma

salam islah,

DARIPADA Abu Ayub bahawa Rasulullah bersabda
bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)


Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

Orang yang berpuasa Ramadan diikuti puasa sunat enam hari pada Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan 10 hari.

Manakala puasa Ramadan bersamaan dengan 10 bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan 10 bulan jumlahnya menjadi setahun.

Seseorang yang hendak berpuasa sunat pada Syawal adalah lebih afdal berturutan seperti puasa Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu. Puasa enam umpama sunat rawatib sesudah solat fardu bagi menampung puasa fardu.

Ia sebagai mengulangi puasa sesudah Ramadan menjadi tanda diterima puasa Ramadan yang kita laksanakan. Ibadah ini juga sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan pada Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan, ganjaran berlipat kali ganda, Lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan sebagainya. Kelebihan puasa enam hari pada Syawal.

Puasa Syawal berfungsi sebagai penyempurna daripada kekurangan. Pada hari kiamat, perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah.

Membiasakan puasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa Ramadan.Apabila Allah menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya.

Sebahagian orang bijak menyatakan: “Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada selepasnya.”Oleh itu, barang siapa mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu tanda atas terkabulnya amal pertama.Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan, lalu diikuti dengan yang buruk. Maka, hal itu adalah tanda tertolaknya amal yang pertama.

Puasa Ramadan mendatangkan maghfirah atas dosa masa lain.Orang yang berpuasa Ramadan akan mendapatkan pahalanya pada Aidilfitri yang juga hari pengurniaan ganjaran.Membiasakan puasa selepas Aidilfitri adalah bentuk kesyukuran atas nikmat ini. Sesungguhnya tidak ada nikmat yang lebih agung daripada pengampunan dosa.

Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan kepadanya adalah dengan berpuasa selepas Ramadan.Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran.Apabila dia berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, pada ketika melakukan ibadah puasa, maka puasanya tidak akan terkabul.

Dia bagaikan orang yang mendirikan sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali.Allah berfirman: “Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-berai kembali.” (Surah an-Nahl, ayat 92).

Segala amalan yang dikerjakan oleh seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia ini, selama dia masih hidup.Orang yang selepas Ramadan berpuasa bagaikan orang yang cepat-cepat kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada peperangan fisabilillah lantas kembali lagi.

Sememangnya tidak sedikit manusia yang berbahagia dengan berlalunya Ramadan sebab mereka berasa berat, jenuh dan lama berpuasa Ramadan.Barang siapa berasa demikian, maka sukar baginya untuk segera kembali melaksanakan puasa. Padahal orang yang segera kembali melaksanakan puasa selepas Aidilfitri adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa.Dia tidak bosan dan berat, apalagi benci untuk menunaikannya.

0 comments: