Thursday, July 31, 2008

Sekeping gambar Seribu makna


Min Aina Ila Aina


Aduhai Diri! Siapakah Aku?


Pernahkah kita bertanya: Siapakah diriku ini? Dari mana aku datang? Siapakah yang menciptakan aku? Siapakah yang menciptakan alam ini? Mengapa aku bekerja, makan, minum, dan tidur? Mengapa aku hidup di muka bumi ini? Dan ke manakah kesudahanku setelah aku dicengkam maut? Apakah sebenarnya satu kehidupan lain sesudah mati itu wujud? Dan apakah kehidupan ini hanya di dunia semata-mata?
Tidak syak lagi bahawa kebanyakan manusia di atas muka bumi ini sekarang berada di dalam kesesatan dan kebodohan! Bukan kerana mereka tidak bijak meredah hutan belantara, bukan kerana mereka tidak tahu menyelami lautan. Bukan juga mereka tidak pandai terbang seperti burung di angkasa raya. Bukan... bukan dan bukan. Bahkan mereka lebih bijak dari binatang buas di hutan, mereka lebih bijak dari ikan di dalam lautan. Mereka lebih cerdik dari burung-burung yang terbang di angkasa!

Kalau begitu, mengapa mereka itu dikatakan bodoh dan sesat? Sesungguhnya mereka tidak kenal akan hakikat 'hidup'. Dari mana mereka datang? Apakah matlamat hidup mereka dan apakah kesudahan mereka? Kebanyakan manusia, samada yang ISLAM apalagi yang bukan Islam, menganggap bahawa kehidupan ini hanya untuk berpoya-poya, berseronok-seronok dan bergembira ria! Mereka merasakan bahawa dunia inilah satu-satunya tempat bagi mereka untuk menghabiskan masa dengan bersenang-senang dengan berbagai-bagai hiburan dan keinginan! Mereka tidak langsung ingat tentang diri mereka! Mereka tidak pernah menyoal tentang kehidupan mereka! Mereka tidak pernah bertanya tentang hari yang bakal tiba!!!!!

Cuba lihat sekeliling kita: lihatlah rumput yang menghijau di taman, lihatlah awan yang berarak indah. Lihatlah langit yang terbentang luas. Tenungilah hujan yang turun dari langit. Perhatikanlah malam dan siang silih berganti tanpa pernah kecoh. Saksikanlah matahari yang menerangi alam ini. SIAPAKAH yang menjadikan semuanya itu dan mengaturkannya sebegitu rapi? Dan untuk apa ia dijadikan? Tidakkah kita terfikir bagaimana bumi ini dijadikan dengan seni yang begitu halus dan indah? Siapakah yang menjadikannya dan untuk apa ia dijadikan? Siapa yang menjadikan dan untuk apa ia dijadikan??

Dari Mana Aku Datang?



Maksud firman ALLAH SWT (Al Hajj: 5):

"Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur) maka ketahuilah sesungguhnya kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian segumpal darah, kemudian segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna kejadiannya agar kami jelaskan kepada kamu dan kami tetapkan dalam rahim, apa yang kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian beransur-ansur kamu menjadi dewasa, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan ada pula diantara kamu dipanjangkan umurnya sampai pikun (nyanyuk), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahui."

Apakah Matlamat Aku Dijadikan?


Firman Allah SWT (Adz-Dzariat:56)

"Dan tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.

Firman Allah swt. (An-Nahl:36)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada setiap umat seorang Rasul (yang menyerukan); 'Sembahlah Allah dan jauhi Thoghut (selain dari Allah) itu', maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di mukabumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)".

Inilah dia matlamat utama manusia dijadikan. Mereka dituntut supaya mentaati Allah setiap detik dan saat. Mereka diarahkan supaya seluruh gerak-geri hidup mereka dihalakan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sehingga tidak ada suatu ruang pun yang tinggal dalam kehidupan mereka yang tidak diisi dengan kepatuhan, ketundukan dan ketaatan yang setulusnya kepada Allah. Dan menundukkan seluruh keinginan mereka ke arah iradah Allah.

Firman Allah swt. (Al-Mu'minun:115)

"Apakah kamu mengira bahawa Kami jadikan kamu untuk bermain-main saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (untuk di hukum)".
Dengan ini kebanyakan manusia samada yang bukan Islam maupun orang Islam sendiri, tidak menyedari hakikat ini. mereka menghabiskan masa dengan berbagai hiburan, dengan cara hidup yang bertentangan dengan kehendak Allah. Tegasnya mereka
tidak lagi menyembah Allah!!! Apakah mereka ini dibiarkan begitu saja? Tidakkah ada balasan bagi orang-orang yang menyembah Allah dan bagi orang-orang yang tidak menyembah Allah?

Kemanakah Kesudahan Hidup Aku?

Sesungguhnya kehidupan manusia di mukabumi ini tidak kekal. Ibarat musafir yang berteduh sementara untuk mencari bekal bagi meneruskan perjalanannya. Mahu tidak mahu ia terpaksa meneruskan perjalanannya! Ini bermakna bahawa tiap manusia akan menemui maut untuk kembali ke tempat asalnya kepada Allah SWT. Biarpun ia seorang yang kaya raya, biarpun ia seorang berpangkat, dan biarkan ia seorang miskin dan hina. Kesemuanya terpaksa menyahut panggilan maut.

Firman Allah:

"Setiap diri akan merasai mati."

Dalam ayat lain, Allah berfirman:(An-Nisa':78)

"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng tinggi lagi kukuh..."

Kebahagiaan atau kecelakaan yang diterima oleh seseorang di dalam kubur adalah bahagian pertama dari alam Akhirat.

Bahagian seterusnya ialah di Mahsyar, di titian sirat dan syurga atau neraka. Alam nyata ini akan dimusnahkan oleh Allah. Akan berlaku suatu hari di mana bangunan-bangunan runtuh, bumi terbelah, laut bergelora, planet-planet berlanggar dan musnah sehingga tidak ada suatu kehidupan pun di alam ini, semuanya MATI.

Firman Allah: (Al-Zalzalah: 1-8)

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya) dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (jadi begini)?" Pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memrintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun nescaya dia akan melihatn;ya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat pula."

Ini bermakna manusia tidak dibiarkan begitu saja dengan amalan-amalan mereka. Tetapi mereka pastiakan menerima balasan perbuatan mereka di akhirat sebagai sambungan dari alam Barzakh.
Tunggulah Balasan Dari Allah

Maksud firman Allah: (Al-Baiyinah: 6 - 8)

"Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik akan masuk ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) orang yang takut kepada Tuhannya."

Perhatikan firman Allah di atas baik-baik. Orang-orang yang tidak mahu menyembah Allah, dan patuh kepada ajaranNya lalu mengadakan penentangan terhadapnya disifatkan oleh Allah sebagai seburuk-buruk makhluk; lebih hina dari binatang! Walaupun pada awal-awal perbicaraan ini manusia disebut sebagai sebaik-baik kejadian tetapi sebaik saja ia kafir dengan ayat-ayat Allah dan enggan menyembah Allah dalam erti kata yang luas atau sebenarnya maka tiadalah makhluk yang lebih hina daripadanya! Na'uzu billah!

Duhai Hati


“Kau ditipu wahai hati” kata si akal.
“Tidak, kau tidak ditipu wahai hati..” kata si nafsu pula.
“Jangan kau mempercayai kata-kata dusta nafsu itu wahai hati yang masih hidup.”
“Jangan kau mendengar umpatan dan tuduhan si akal itu wahai hati yang menjadi milikku.”
“Sesungguhnya aku adalah yang benar antara yang benar. Apakah aku tegar mendustaimu setelah sekian lama aku menimba ilmu? Tidak ingatkah engkau wahai hati yang masih hidup bahawa aku adalah ciptaan terindah dan kamil antara semua ciptaan Khaliqmu? Aku hanya dianugerahkan untuk manusia, iaitu sesempurna kejadianNya. Sedangkan kesemua makhukNya yang lain memiliki nafsu yang durjana itu. Dengarlah bicara haqku ini wahai hati yang suci...” Rayu si akal lagi.
Suasana sepi seketika..
“Benar kata-katamu itu wahai si akal.Sesungguhnya aku...”kata-kata si hati dipatahkan oleh si nafsu.
“Wahai hati, sudah lupakah engkau bahawa kita pernah mengikat janji setia suatu ketika dahulu? Engkau berjanji menjadi sahabatku yang paling setia di buana ini. Engkau berjanji menjadi sahabat yang paling mencintaiku. Malahan engkau berjanji menuruti kesemua kemahuanku. Mengapa sekarang engkau tegar mendustai janji-janjimu itu wahai hati yang menjadi milikku? Apakah engkau mahu menjadi munafik? Apabila berjanji ia mungkiri, apabila diamanahkan ia khianati dan apabila bercakap ia dustai. Apakah engkau juga mahu tergolong dalam golongan munafik ini?” hujah si nafsu.
Hati kebingungan. Apakah yang harus ia lakukan sekarang? Lalu si hati mengakui akan kata-kata si nafsu itu.
“Benar katamu itu wahai nafsu bahawa Tuhanku pernah berfirman katanya: “sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan pembohongan adalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah.Dan mereka itu adalah orang-orang pendusta” (surah an-Nahl:105).
Si nafsu durjana itu tersenyum puas setelah mendengar setiap bait kata-kata yang dilontarkan oleh si hati yang sudah mati itu. Si akal yang bijaksana kecewa lagi, seperti kata-kata dan nasihatnya selama ini tidak membuahkan sebarang hasil.
“Wahai hati, apakah engkau sudah mati!” bentak si akal dengan perasaan hampa dan kecewa yang mendalam.
“Aku kecewa dengan sikapmu yang terlalu mengikutkan si nafsumu itu. Engkau seharusnya meletakkan aku iaitu akal mengatasi nafsumu itu sendiri. Apakah engkau mahu imanmu itu rebah lalu menyembah bumi dengan longlai sekali? Apakah engkau tegar memperlakukan imanmu sehingga begitu? Bangunlah wahai hati yang mati. Kuatkan kembali sendi-sendimu yang lemah itu. Bangunlah...bangunlah...bangunlah...aku merayu padamu wahai hati. Bangunlah agar aku bisa menghidu wanginya haruman hatimu di segenap buana bak kasturi di syurga abadi. Wahai hati ingatlah akan doa Rasulullah: wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMu.”
Tiba-tiba datang satu suara, apabila terdengarnya tenteramlah seluruh saraf di segenap tubuh. Katanya dengan tenang.
“Duhai hati yang masih hidup, ingatlah akan firman Tuhanmu: orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang” (surah ar-Ra’d:28).
Sambungnya lagi, “Dan barang siapa yang berpaling dari mengingati Allah yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan(yang menyesatkannya) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (surah az-Zukhruff:36).
“Duhai hati yang hidup, sentiasalah mengingati Allah dan sentiasalah berzikir menyebut nama Tuhnmu. Ketahuilah duhai hati, berzikir mengingati Allah itu merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati jiwamu yang sedang parah kini. Malahan duhai hati, ingatlah bahawa zikir juga merupakan senjata yang paling tajam dalam menghadapi serangan-serangan zaman, pancaroba hidup dan liku-likunya. Seperkara lagi duhai hati, seseoran yang berpegang teguh dengan agama tidak akan mengidap penyakit jiwa.” Setelah itu malaikat berlalu pergi sambil mengusap-usap air mata si hati yang mengalir hangat di pipinya. Dengan senyuman yang menguntum malaikat melambai dan terus menghilangkan diri.
“Wahai sahabat-sahabatku sekalian, dengarlah baik-baik apa yang inginku bicarakan ini. Mulai sekarang aku mengisytiharkan bahawa aku memungkiri janji-janjiku denganmu wahai si nafsu. Dahulu kau pernah menjadi sahabat karibku walaupun seketika, namun apa yang aku perolehi ketika bersamamu? Aku hanya memperolehi keseronokan duniawi yang hanya seketika, fana belaka. Hatiku pula resah gelisah, gelap gelita, kotor sehingga tiada sepicing pun nur Ilahi dapat menembusi hatiku ini. Namun kubersyukur kepada Allah dengan anugerahNya yang agung iaitu akal. Ternyata akalku masih mampu berbicara melontarkan nasihat demi nasihat untukku. Aku bersyukur pada Ya Rabb kerana menyedarkan diriku ini. Aku sedar kini bahawa akallah yang harus aku dahului mengatasi si nafsu.”
Ku lihat si nafsu rebah menyembah bumi, si akal tersenyum kesyukuran dan hatiku kini mekar semekar mawar di jambangan dan harum seharum wangian kasturi di syurga. Kami tidak henti-henti memuji kebesaran Ilahi sehinggan terhasillsh alunan zikir sungguh syahdu dan mengasyikkan. Kini dengan limpah kurniaNya, aku mampu menghirup aura segar iman yang semakin meningkat.
“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayahMu.” kami bersama-sama menaminkan doaku itu.

sebagai permulaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ku memulakan segala tindakan dan perbuatan dengan harapan setiap yang dikerjakan mendapat berkat dari Ilahi walaupun perkerjaan itu kecil sekalipun dan seterusnya ku merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk meneruskan lagi perjuangan.. Sejuta kesyukuran juga kerana Dia telah mengurniakan nikmat yang terlalu banyak untuk dihitung dan diantara 2 nikmat yang besar nikmat islam dan iman. Marilah sama-sama kita memanjat kesyukuran dan segala pujian kepada Tuhan yang mengatur perjalanan kita.. Seterusnya salam dan selawat kepada baginda Ar Rasul SAW, Pemberi syafaat di hari kebangkitan.

harapan saya, dengan terciptanya blog ini ia akan menjadi medan atau wadah perjalanan dakwah yang masih panjang kepada semua umumnya dan kepada saya khasnya. Selain itu saya berharap ia akan menyumbangkan perbincangan yang sihat dan baik dikalangan kita sendiri.semoga usaha kecil ini mempunyai nilai yang tinggi disisiNya.

marilah sama-sama kita mengambil manfaat bersama..

insan kerdil mencari keredhaanNya